Khas buat peminat bola sepak Malaysia, TV9 bakal menyiarkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya pada bulan September ini yang berlangsung di Chengdu, China.

Ia dimulakan dengan perlawanan persahabatan menentang Syria pada hari esok (Rabu, 6 September 2023) diikuti dengan satu lagi perlawanan bertemu tuan rumah, China pada hari sabtu (9 September 2023).

Aksi menentang Syria akan disiarkan secara langsung di TV9 mulai pukul 4.30 petang manakala perlawanan bertemu China bermula pada pukul 7.25 malam.

Dua aksi ini adalah sebahagian daripada rangka persediaan Malaysia untuk menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Sudah tentu ramai peminat dan penonton tidak sabar melihat aksi-aksi hebat daripada skuad kebangsaan seperti Faisal Halim, Arif Aiman, Brendan Gan, Dion Cools dan Darren Lok.

Lebih menarik, skuad Harimau Malaya kali ini turut diperkuat oleh dua pemain naturalisasi iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia bulan lalu. Seorang lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero turut dipanggil menyertai pasukan.

Perlawanan persahabatan ini juga merupakan medan untuk ketua jurulatih, Kim Pan-gon menilai prestasi pemain dalam perlawanan kompetitif di pentas antarabangsa.

Pada jendela FIFA bulan Jun, pasukan negara berjaya mencatat dua kemenangan ketika berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea sekaligus memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA.

Malaysia juga berpotensi memotong kedudukan Filipina yang masih kekal dalam kelompok 135 teratas dunia jika berjaya menewaskan Syria dan China.

Kali terakhir Malaysia masuk dalam kelompok ranking 130-139 dunia adalah pada Ogos 2010. Kedudukan ini boleh berubah sekiranya Harimau Malaya konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang seterusnya.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!